IKIM SERU PELANTIKAN KETUA HAKIM NEGARA DILAKSANA DENGAN TELUS DAN BERINTEGRITI

Kuala Lumpur, 11 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim Mahkamah Tinggi perlu dijalankan secara telus, berintegriti serta berpaksikan peruntukan undang-undang sedia ada demi menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Dalam satu kenyataan media hari ini, IKIM memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai mekanisme pelantikan Ketua Hakim Negara yang tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

Proses ini melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong dengan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

IKIM turut menzahirkan kebimbangan terhadap spekulasi yang timbul berkaitan kelewatan pelantikan tersebut serta dakwaan campur tangan eksekutif, namun walau bagaimanapun, menurut IKIM kekosongan jawatan adalah sebahagian daripada proses peralihan biasa dalam institusi kehakiman dan tidak wajar dipolemikkan.

“Keyakinan terhadap institusi kehakiman perlu dikekalkan dengan memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit, kecekapan dan pengalaman tanpa pengaruh politik atau tekanan luar,” tegas Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Sehubungan itu, IKIM menyeru rakyat agar kekal tenang dan tidak terjebak dengan spekulasi serta persepsi negatif yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.

IKIM juga menyokong cadangan reformasi untuk memperkukuh ketelusan dalam proses pelantikan hakim termasuk usaha mengurangkan peranan eksekutif, selagi ia selari dengan semangat Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

“Pelantikan Ketua Hakim Negara serta hakim-hakim mahkamah atasan perlu disegerakan dalam tempoh yang munasabah bagi mengelakkan kekosongan berpanjangan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran keadilan,” tambah beliau.

IKIM menegaskan komitmennya untuk terus menyokong kebebasan serta integriti institusi kehakiman sebagai tunjang utama dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top