IKIM SEBAGAI ‘THOUGHT LEADER’ KEPADA MASYARAKAT – ZULKIFLI HASAN

Kuala Lumpur, 21 Nov (IKIM) – Usaha yang dijalankan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam membentuk dan memudahkan pemahaman terhadap peradaban insaniah di kalangan masyarakat seperti konsep ‘Sunnah Makiyyah dan Sunnah Madaniah’ adalah langkah yang sangat signifikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli bin Hasan

Dalam ucapan perasmian “Seminar Masyarakat Malaysia Madani 2024: Ke Arah Pembinaan Peradaban Insani”, beliau berkata seminar ini bukan sahaja menyentuh aspek keagamaan, tetapi juga membawa mesej yang lebih luas, termasuk kepada penggubal dasar, eksekutif dasar, serta masyarakat umum.

Turut hadir dalam seminar ini Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohmad Adil.

Zulkifli berkata tajuk-tajuk pembentangan yang dikemukakan, berfokus kepada penerapan konsep-konsep tersebut dalam kehidupan seharian, memberikan kerangka baharu yang praktikal untuk dilaksanakan dalam konteks Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

“Salah satu aspek penting yang ditekankan ialah bagaimana prinsip dan falsafah ini dapat difahami dengan mudah oleh masyarakat awam serta pemimpin negara untuk dilaksanakan dengan sistematik dan efisien.

Beliau menegaskan bahawa penerapan kerangka MADANI yang bersifat universal, inklusif, dan sejagat, dilihat sebagai pendekatan yang tepat untuk menghadapi cabaran dan realiti pasca-normal.

Tambah beliau, MADANI bukan sahaja menekankan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi tetapi juga menggalakkan kebajikan serta kedamaian dalam masyarakat. Kerangka ini diharapkan dapat memandu Malaysia menuju masa depan yang lebih baik, lebih harmoni, dan lebih adil.

Dalam pada itu katanya, pengiktirafan terhadap pentingnya thought leaders atau pemimpin pemikiran dalam negara semakin jelas dan Malaysia, meskipun memiliki banyak aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masih kekurangan individu atau kelompok yang mampu memimpin perubahan melalui pemikiran yang kritis dan bernas.

“Alhamdulillah di Malaysia kita ramai aktivis dan NGO tetapi kita masih kemarau “thought leaders” yang boleh membawa dan membentuk pemikiran Masyarakat yang boleh menterjemahkan idea besar dan agung seperti MADANI”, katanya

Oleh itu katanya, inisiatif yang diambil oleh IKIM untuk berperanan sebagai thought leaders yang memperkenalkan serta menterjemahkan idea besar dan agung seperti MADANI adalah suatu langkah yang perlu disokong.

“Kesimpulannya, usaha berterusan untuk memperkenalkan konsep-konsep ini dengan cara yang mudah difahami dan diterima oleh semua lapisan masyarakat adalah langkah penting dalam membentuk masa depan yang lebih cerah bagi Malaysia,” katanya.

IKIM memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang untuk perbincangan yang mendalam dan berinformasi, di mana nilai-nilai positif dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dalam membentuk sebuah negara yang berdaya saing, adil, dan progresif dalam era globalisasi ini.

WhatsApp
Scroll to Top