KUALA LUMPUR, 7 Feb (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan dan kemakmuran negara melalui penyampaian mesej berteraskan kebaikan serta kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, media dan IKIM perlu berganding bahu dalam menyampaikan mesej Islam yang tepat dalam pelbagai bahasa bagi memperkukuh kefahaman, perpaduan, keamanan serta kesederhanaan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Apa yang kita ingin sampaikan ialah kerjasama antara media dan IKIM untuk menyebarkan mesej kefahaman Islam yang sebenar, damai, bersifat perpaduan, berkemajuan dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Ramah Mesra Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama IKIM dan Rakan Media di sini.

Turut hadir majlis ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustazah Marhamah Rosli ;Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan pengurusan tertinggi IKIM.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata media kini berdepan cabaran baharu, khususnya apabila sesuatu berita atau fitnah tular sehingga sukar dibendung.
“Justeru, ini menjadi cabaran kepada kita semua untuk membina pemikiran dan fikrah masyarakat agar nilai positif dapat dibawa secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan media sebagai jambatan penyampaian maklumat bukan sahaja untuk sampai ke minda rakyat, tetapi turut menyentuh hati mereka.
“Media memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej kebaikan bagi membina negara. Sebab itu kita memerlukan kerjasama semua media pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” katanya.
Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof




