KUALA LUMPUR, 18 Februari (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga institusi utama, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) bersempena sambutan Ulang Tahun IKIM ke-33.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata majlis menandatangani MoU ini diadakan bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan, selaras dengan persamaan ekosistem ilmu antara keempat-empat institusi berkenaan.

“IKIM memiliki tiga pusat akademik, iaitu Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), serta Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) dan saya melihat perjanjian ini sebagai satu peluang penting untuk para penyelidik IKIM bekerjasama dengan fakulti dan pusat penyelidikan di UPSI, UTHM dan IBFIM”.
Mohamed Azam berkata MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang, memanfaatkan kepakaran setiap institusi yang hadi dengan gabungan kekuatan UPSI, UTHM dan IBFIM sebagai gedung ilmu dengan peranan IKIM sebagai badan pemikir Islam diyakini mampu memberi manfaat besar kepada pemegang taruh dan masyarakat secara keseluruhan.

IKIM diwakili Ketua Pengarah, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; UPSI diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. MD Amin MD Taff; UTHM diwakili Provost, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad dan IBFIM diwakili Ketua Pegawai Esekutif, Yusry Yusoff.
Turut hadir Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty.

Sementara itu Mohamed Azam berkata IKIM ditubuhkan bagi memberi kefahaman Islam yang sebenar tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan, usaha mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak luar yang tidak bersifat kepartian ini juga adalah satu strategi yang berkesan dalam membantu IKIM merealisasikan matlamat penubuhannya.
“Sejak penubuhannya, IKIM komited dalam meningkatkan kefahaman Islam secara autentik kepada masyarakat tanpa terpengaruh oleh elemen retorik atau kepartian,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun IKIM ke-33.

Dengan termeterainya MoU ini, IKIM berharap dapat terus memperluaskan jaringan akademik dan meningkatkan lagi usaha dalam memberi kefahaman Islam yang menyeluruh serta inklusif kepada masyarakat di Malaysia dan luar negara.
IKIM menyambut ulang tahun ke-33 penubuhan IKIM, yang ditubuhkan pada 18 Februari 1992 bersamaan 14 Syaaban 1412 Hijrah.