KUALA LUMPUR, 24 Februari (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melancarkan Kempen Mahabbah MADANI Ramadan 1446H, menampilkan pelbagai program khas bagi mengisi bulan Ramadan dengan pengisian bermanfaat melalui platform IKIMfm, tvIKIM, dan digital.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam ucapannya menekankan bahawa Pusat Media IKIM telah memperkukuhkan rancangan-rancangan terbitan khas dengan pemilihan asatizah, artis jemputan, serta rakan sinergi bagi menarik lebih ramai pendengar dan penonton.

Mohamed Azam berkata antara program istimewa yang bakal disajikan oleh IKIMfm termasuk Drama Khas Ramadan lakonan Beto Kusyairi dan Wan Sharmila, Tazkirah Ramadan bersama Ustaz Muhammad Izzan bin Idris al-Hafiz, Kuliah Lima Minit (KULIM) dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) serta Kapsul Light of Ramadan yang akan disampaikan oleh Dr. Erfino Johari.

Sementara itu katanya, tvIKIM bakal menampilkan Tadarus Al-Quran dengan penyertaan Albukhary International University, Tazkirah Ramadan oleh Ustaz Dato’ Badlishah Alauddin, segmen Tips Ramadan bersama Farhatul Fairuzah, Chef Joe, dan Irma Hasmie serta tayangan dokumentari khas IKIM Merentas Benua: Uzbekistan.

Beliau berkata Unit Digital IKIM akan menerbitkan podcast Sit & Seek Khas Ramadan, menampilkan tetamu seperti Uncle Kentang, Amoi Baju Merah, dan Diana Amir, dengan fokus khusus kepada ibadah bagi golongan OKU.
“Pusat Media IKIM tidak kenal lelah dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.”

“Bekerja sebagai satu pasukan, mereka sentiasa berusaha gigih dalam menerbitkan rancangan-rancangan yang memberi inspirasi, pendidikan, dan hiburan telah memberikan impak yang besar terhadap masyarakat,” kata Mohamed Azam.
Mengulas lanjut Mohamed Azam berkata IKIM juga memastikan kandungan dakwahnya dapat diakses melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, serta laman sesawang rasmi.

Sementara itu katanya sebagai sebahagian daripada program turun padang, Pusat Media IKIM akan bekerjasama dengan Galeri Ilmu Media Group dan Majlis Perbandaran Sepang bagi mengendalikan Bazar Ramadan dengan sokongan Petronas Sepang International Circuit (SIC).

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat sejajar dengan konsep Malaysia Madani. Semoga segala usaha ini diterima sebagai amal jariah yang terus mengalirkan faedah,” katanya.

Majlis pelancaran ini diadakan sebagai usaha menyebarluaskan informasi kepada khalayak mengenai inisiatif Ramadan yang telah disusun oleh IKIM dalam memastikan bulan suci ini diisi dengan ilmu dan kebajikan.
Turut hadir majlis ini Pengarah Pusat Media, Hj. Ahmad Fuad Mat Ali.