NILAI, 4 Feb (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pendidikan serta penyiaran berteraskan kefahaman Islam.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar menjurus kepada penghasilan akademik, malah bertujuan menghidupkan kembali roh keilmuan Islam sebagai amanah Ilahi yang membimbing kesejahteraan insan dan pembangunan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman IKIM dan USIM yang turut disaksikan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Menurut beliau, antara fokus utama kerjasama itu termasuk pertukaran hasil penyelidikan, pelaksanaan penyelidikan kolaboratif menerusi geran padanan, serta peluang latihan industri kepada pelajar USIM dalam bidang penyiaran, penyelidikan dan penerbitan di IKIM.

Selain itu, IKIM turut menyambut baik inisiatif USIM dalam pembangunan Quran Isyarat yang dilihat sebagai pendekatan inklusif bagi memastikan mesej al-Quran dapat difahami oleh golongan kurang upaya pendengaran.
Kerjasama berkenaan juga melibatkan projek penerbitan dan pemeliharaan manuskrip Islam klasik serta penyertaan bersama dalam pesta buku antarabangsa bagi memperkenalkan pemikiran Islam Malaysia ke peringkat global.
MoU itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam usaha membina ekosistem ilmu yang berteraskan nilai, hikmah dan kesejahteraan sejagat.
Oleh: Norhayati Paradi




