ikim anjurkan Muzakarah Pakar Wakaf Muaqqat

Kuala Lumpur, 16 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menganjurkan Muzakarah Pakar Tentang Potensi Wakaf Muaqqat Dalam Agenda Wakaf Semasa di Malaysia di Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty.

Muhammad Nur dalam ucapan perasmiannya berkata konsep wakaf yang wujud dalam tamadun Islam adalah satu bentuk institusi filantropi yang tertua di dunia iaitu satu bentuk sadaqah ataupun derma bakti yang bersifat sukarela yang amat digalakkan oleh Islam.

Beliau berkata filantropi, wakaf mahupun derma bakti berperanan sebagai sektor ketiga daripada dua sektor yang sedia ada iaitu sektor kerajaan dan sektor swasta dalam ekonomi yang mempromosi pendekatan kesukarelawanan yang bermatlamat untuk meningkatkan kesejahteraan hidup manusia.

Katanya konsep wakaf ini termasuklah dalam mengurangkan masalah agihan kekayaan yang tidak saksama, kemiskinan, isu etika, alam sekitar dan memperbaiki taraf hidup tanpa bergantung semata-mata kepada pemerintah.

“Bagi masyarakat Islam, pembangunan institusi wakaf atau institusi filantropi mahupun badan kebajikan memang mempunyai akar yang kukuh dalam tradisi ilmu agama Islam itu sendiri. Ia berakar umbi daripada kewajipan berzakat.

Perbezaan pandangan mazhab pula membolehkan mereka yang ingin berwakaf, boleh memilihkan untuk mewakafkan harta mereka sama ada untuk selama-lamanya ataupun secara bertempoh. Bagaimanapun di negara kita yang berpegang kepada mazhab Syafie, amalan wakaf masih masih terikat dengan syarat tempoh wakaf perlu bersifat selama-lama.”

Muhammad Nur berkata dalam usaha menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk berwakaf, ciri wakaf bertempoh dan tiada unsur pindah milik secara kekal ini dilihat boleh menarik minat orang ramai untuk berwakaf kerana pendekatan wakaf sebegini dilihat lebih fleksibel, moden dan sesuai dengan suasana semasa.

Dalam muzakarah ini juga turut diadakan pembentangan kertas  kerja antaranya yang bertajuk ‘Wakaf Bertempoh: Cabaran Perlaksanaan Wakaf di Malaysia”.

Turut hadir dalam muzakarah ini Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Scroll to Top