KUALA LUMPUR, 28 Mei (IKIM) – Syarikat pelancongan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menerima Anugerah Keyakinan Pengguna Terbilang sempena Islamic Distinguished Enterprise (IDEA) Award 2025 yang dianjurkan oleh Muslim Insiders Chamber of Commerce (MICC).
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian ikhlas.com dalam menyediakan perkhidmatan gaya hidup dan kembara Islam yang cemerlang, yang direka khas bagi membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab agama dengan mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata pihaknya amat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut.
“Kami digerakkan oleh misi untuk menggabungkan teknologi terkini dengan penglibatan komuniti yang bermakna, demi memperkasa umat Islam dengan akses lebih mudah kepada gaya hidup dan nilai-nilai Islam yang memperkayakan kehidupan seharian mereka,” katanya.
“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini dan diiktiraf dalam kalangan komuniti perusahaan Islam.”
Anugerah ini merupakan pengiktirafan kedua yang diterima ikhlas.com pada tahun ini, selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Prestasi Kutipan Zakat Tertinggi 2024 oleh Lembaga Zakat Selangor pada bulan Mei, susulan kutipan zakat berjumlah RM8.4 juta yang direkodkan pada tahun lalu.
Ditubuhkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan kembara Islamik milik Capital A, yang direka khusus bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan agama mereka.
Selain menawarkan perkhidmatan Umrah dan pelancongan mesra Muslim menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari AirAsia, ikhlas.com turut menyediakan kemudahan untuk menunaikan zakat, sedekah, aqiqah, fidyah, korban dan pelbagai ibadah lain.