IKHLAS.COM LANCAR KEMPEN UMRAH 1,000 ASNAF SEMPENA ULANG TAHUN KELIMA

KUALA LUMPUR, 18 April (IKIM) – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) hari ini melancarkan Kempen Umrah 1,000 Asnaf sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhannya, sebagai inisiatif memberi semula kepada komuniti serta memperkukuh misinya untuk memudahkan umat Islam menunaikan ibadah umrah.

Diasaskan pada 18 Mac 2020, ketika negara berdepan pandemik COVID-19, ikhlas.com berkembang daripada penyedia pakej umrah kepada platform gaya hidup Islam menyeluruh, termasuk perkhidmatan Sadaqah dan bantuan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, kempen ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan mampu milik kepada golongan kurang diberi perhatian.

“Selepas lima tahun, kami bangga ikhlas.com kini diyakini sebagai pengendali umrah berpatutan dengan jaminan kualiti terbaik buat Tetamu Allah. Pakej flagship kami bermula serendah RM4,990 merangkumi penginapan, pengangkutan, umrah berpandu mutawif dan ziarah,” jelasnya.

Syarikat turut mendapat sokongan daripada syarikat induknya, Capital A Berhad, yang baru-baru ini menerima kelulusan Bursa Malaysia untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun menyatakan keyakinan bahawa inisiatif ini akan memberi impak positif kepada umat Islam, sambil mengajak lebih ramai rakan strategik menyertai usaha murni ini.

Sebagai simbol kempen, sebuah kereta klasik Mercedes S124 300TE 1987 yang dinamakan Qashwa akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk mencari calon asnaf yang layak menerima tajaan Umrah yang turut membawa bantuan keperluan asas untuk diagihkan kepada komuniti memerlukan.

“Qashwa bukan sekadar simbol, ia adalah misi menggerakkan komuniti setempat serta menarik sokongan pelbagai pihak termasuk dermawan, NGO dan agensi kerajaan,” ujar Ikhlas lagi.

Orang ramai boleh mencalonkan individu layak melalui Instagram rasmi @ikhlasdotcom dengan menggunakan tanda pagar #IkhlasUmrah1000Asnaf beserta bukti visual. Calon terpilih akan disenarai pendek untuk ditemuduga sebelum menerima tajaan.

Dilancarkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan cabang gaya hidup Islam di bawah Capital A yang turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih di Apple App Store dan Google Play Store.

WhatsApp
Scroll to Top