KUALA LUMPUR, 1 Julai (IKIM) — Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) hari ini melancarkan Malaysia Industry Awards (MINDA) 2025 dan Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Community Development – ABCD) yang bakal berlangsung pada 7 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pengerusi FMBA, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata MINDA tahun ini yang merupakan kali kelima menampilkan 40 pemenang korporat dan individu dari negara-negara ASEAN bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Katanya antara kategori utama yang disampaikan pada majlis MINDA 2025 ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Antarabangsa ASEAN, Anugerah Bintang Muda Madani, Anugerah Kecemerlangan Wanita Madani dan Anugerah Industri (Kecemerlangan/Inovasi/Cemerlang).
Beliau berkata anjuran MINDA 2025 ini adalah sebagai usaha mengiktiraf individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi Malaysia serta meningkatkan pengiktirafan negara di peringkat Asia Tenggara.
Sementara itu, Abdul Malik turut memaklumkan bahawa FMBA akan menganjurkan forum yang bertemakan “Memperkasa Lonjakan Baharu ASEAN – Transformasi Digital, Lestari dan Keusahawanan” ini dijangka menarik penyertaan seramai 500 peserta dari 10 negara ASEAN.
Beliau berkata forum ini akan menampilkan barisan penceramah berpengalaman dari seluruh ASEAN yang akan membincangkan isu-isu utama berkaitan ekonomi, perdagangan, transformasi digital dan kelestarian serantau dengan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu keusahawanan, ekonomi digital dan ekonomi hijau ASEAN.
“Kami berhasrat untuk menganjurkan forum ini secara tahunan dan kemungkinan besar Filipina akan menjadi tuan rumah pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap dalam majlis penghargaan FMBA dan jamuan minum petang bersama media di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa empat orang menteri Malaysia dijangka hadir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan merasmikan forum tersebut.