KUALA LUMPUR, 23 Jun (IKIM) – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyampaikan tahniah dan memberikan sokongan atas kejayaan kumpulan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dalam Festival Antarabangsa Wind Orchestra Prague 2025 yang berlangsung di Republik Czech semalam.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan hanya pencapaian dalam bidang muzik, malah merupakan lambang semangat, iltizam dan jati diri anak-anak serta cucu-cucu FELDA yang membuktikan bahawa impian besar mampu direalisasikan.
“Daripada ladang ke pentas antarabangsa, MAWO membuktikan bahawa anak FELDA mampu menyinar di mana-mana,” katanya dalam kenyataan rasmi FELDA hari ini.
Ucapan penghargaan khusus ditujukan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman atas sokongan berterusan dan kerjasama erat dalam menjayakan penyertaan tersebut.

MAWO, yang dianggotai pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MARESMAF) dari Trolak, Perak menyinar dalam pertandingan antarabangsa itu hasil usaha gigih dan sokongan padu pelbagai pihak.
Ahmad Shabery turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang menyumbang secara langsung, khususnya U Mobile yang menjadi penyokong utama sejak awal lagi, FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd dan syarikat-syarikat lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan penyelarasan misi ini berjalan lancar.
Kejayaan MAWO juga disandarkan kepada dedikasi dan pengorbanan para guru serta ibu bapa MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, terutama guru pembimbing Raja Muzafar Shah Raja Abdullah yang tidak pernah jemu membimbing dan memberikan semangat kepada anak-anak MAWO.
FELDA turut menzahirkan penghargaan kepada tokoh muzik negara, Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM atas peranan beliau sebagai penasihat dan sumber inspirasi kepada kumpulan orkestra tersebut.
Ahmad Shabery menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan kekuatan kerjasama merentas sektor dalam mengangkat nama FELDA dan Malaysia di pentas antarabangsa.