DELEGASI MALAYSIA SELAMAT TIBA DI ISTANBUL, USAHA DIPIMPIN PERDANA MENTERI BERJAYA

KUALA LUMPUR, 4 Okt (IKIM) – Semua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza disahkan selamat dibebaskan dan tiba di Istanbul, Turkiye malam ini selepas melalui proses rundingan diplomatik yang berjaya.

Menurut Sumud Nusantara Command Center (SNCC), kejayaan membawa pulang delegasi Malaysia itu hasil rundingan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dengan bantuan Kerajaan Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdoğan; Kerajaan Jordan serta Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat.

Pesawat komersial Turkish Airlines yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye telah membawa kesemua delegasi berlepas dari Lapangan Terbang Ramon pada jam 6.40 petang waktu Malaysia dan selamat mendarat di Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia. Mereka disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye.

Delegasi Malaysia akan bermalam di Istanbul atas jemputan rasmi kerajaan Turkiye sebelum pulang ke tanah air menerusi penerbangan Turkish Airlines yang turut ditaja sepenuhnya oleh kerajaan berkenaan.

Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby bin Dato’ Abdul Alim Araby, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas usaha diplomatik berterusan dalam memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia.

“Kami amat terharu dengan kepimpinan dan kesungguhan kerajaan Malaysia menggunakan hubungan erat antarabangsa dalam rundingan yang akhirnya membolehkan 23 rakyat Malaysia dibebaskan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

SNCC turut mengesahkan bahawa 137 daripada 462 peserta flotila dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia telah dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.

Dalam kenyataan sama, Sumud Nusantara menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar baki peserta GSF yang masih ditahan akan dibebaskan segera, serta mendoakan agar perang di Gaza dapat dihentikan susulan perkembangan positif rundingan antara pihak Hamas dan rejim Israel.

Selain itu, SNCC kini dalam persiapan untuk menggerakkan konvoi bantuan darat besar-besaran Malaysia ke Gaza, dengan sokongan Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Kerajaan Malaysia sekiranya koridor kemanusiaan Rafah dibuka.

“Misi Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla menjadi saksi kepada kebangkitan gelombang kesatuan rakyat Malaysia yang peduli terhadap nasib Gaza dan Palestin,” ujar Dato’ Sani lagi.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Sumud Nusantara Command Center (SNCC) melalui talian 012-800-2016 atau e-mel commandcenter@sumudnusantara.com, manakala maklumat lanjut boleh diakses di www.sumudnusantara.com dan tracker.sumudnusantara.com.

WhatsApp
Scroll to Top