DELEGASI MALAYSIA DITAHAN REJIM ISRAEL, SNCC SEDIA BAWA PULANG SEMUA PESERTA FLOTILA

KUALA LUMPUR, 4 Okt (IKIM) – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan bahawa kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza kini berada dalam tahanan rejim Zionis Israel di Penjara Ketziot.

Menurut Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby Abdul Alim Araby, pihaknya menerima makluman daripada pertubuhan guaman ADALAH bahawa 20 daripada 23 peserta Malaysia telah berjaya dihubungi oleh pasukan peguam, manakala tiga lagi akan diuruskan dalam masa terdekat.

“Delegasi Malaysia telah dinasihatkan untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure bagi memudahkan proses pembebasan dan penghantaran pulang ke tanah air,” katanya dalam kenyataan rasmi pagi ini.

Beliau memaklumkan, SNCC kini bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan menunggu isyarat daripada kerajaan Turkiye, yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis bagi urusan membawa pulang semua peserta Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, SNCC menerima laporan bahawa seramai 462 peserta flotila dari pelbagai negara telah ditahan, manakala empat warga Itali telah dibebaskan. Kesemua mereka kini menjalani prosiding imigresen di bawah kawalan pihak berkuasa Israel.

“Maklumat yang kami terima menunjukkan para peserta flotila telah dipaksa melutut dengan tangan bergari menggunakan zip-tie selama hampir lima jam selepas melaungkan slogan ‘Free Palestine’. Mereka turut dinafikan akses asas seperti air, tandas dan ubat-ubatan,” tambah Sani Araby.

Beliau turut menjelaskan bahawa barangan bantuan kemanusiaan seperti beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan yang dibawa dalam misi tersebut dipercayai masih berada di atas kapal yang telah dipintas rejim Israel di perairan antarabangsa.

SNCC dalam kenyataannya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa, melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah, selain menzahirkan sokongan terhadap perjuangan kemanusiaan Global Sumud Flotilla serta usaha membuka koridor bantuan ke Gaza.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 012-800-2016 atau emel commandcenter@sumudnusantara.com, serta mengikuti perkembangan di laman rasmi www.sumudnusantara.com dan tracker.sumudnusantara.com.

WhatsApp
Scroll to Top