KUALA LUMPUR, 7 Mac (IKIM): Orang ramai dijemput menyertai perundingan awam secara dalam talian di laman web rasmi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, garis panduan ini adalah amat penting bagi untuk memastikan sebarang laporan dan perkongsian maklumat mengenai isu bunuh diri dilakukan secara beretika.
Hal ini kerana liputan media yang sensasi, tidak beretika dan tidak sensitif mengenai isu bunuh diri akan memberikan impak negatif kepada masyarakat, termasuk menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri melalui fenomena peniruan atau ‘suicide contagion’ (Werther effect).
“Apa yang kita lihat bila ada kes-kes ini dibawa di dalam berita atau perkongsian di media sosial, kita sentiasa melihat netizen-netizen ini bertanya macam-macam soalan, ‘siapa, di mana, macam mana bunuh diri,” katanya.
“Tapi sebenarnya butiran-butiran terperinci sebegini adalah sangat tidak selamat sebab kajian global telah membuktikan bahawa pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri, kalau terlebih terperinci, ia boleh membawa kepada situasi orang lain yang mungkin dibelenggu kesihatan mental mengambil tindakan yg serupa,” ujar Mediha.
“Kita bangunkan satu garis panduan untuk memberikan sedikit rujukan dan garis panduan utk semua pihak untuk memastikan sekiranya berkongsi tentang bunuh diri ini, ada cara-cara do’s and don’ts mereka.” katanya.

Mediha turut menegaskan bahawa sebarang perkongsian mengenai bunuh diri tidak boleh disertakan gambar atau video berserta kaedah yang diambil mangsa.
Menurut Mediha, objektif utama inisiatif ini adalah untuk memastikan kandungan bunuh diri itu tidak ditiru oleh orang lain, di samping memelihara dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.
Katanya ini kerana stigma terhadap kesihatan mental masih tebal sehingga menyukarkan masyarakat untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Beliau berkongsi mengenai perundingan awam ini ketika temubual Penerbit Siti Rohani Surani dalam Slot Inspirasi Jiwa IKIMfm, 2.30 petang hari ini.
Garis panduan ini merangkumi beberapa aspek utama termasuklah Garis Panduan Pelaporan Bunuh Diri Selebriti; Garis Panduan untuk Pempengaruh & Pengguna Media Sosial; Garis Panduan Pelaporan Kes Membabitkan Remaja; Garis Panduan Penggambaran Bunuh Diri dalam Drama & Filem; Garis Panduan Perkongsian Selamat oleh Mereka yang Berpengalaman; serta Garis Panduan Temu Bual dengan Mangsa Tragedi, Saksi, dan Mereka yang Terselamat.
Kata beliau, semua pihak dijemput menyertai rundingan awam ini, termasuk pengamal media, pempengaruh, pembuat dasar, akademik, pakar kesihatan mental, organisasi masyarakat sivil serta orang awam.
Penglibatan semua pihak di dalam perundingan awam ini adalah penting untuk membentuk garis panduan yang lebih holistik dan mencerminkan keadaan semasa di lapangan.
Perundingan awam ini dibuka dari 28 Januari hingga 13 Mac 2025, dan pihak yang berminat boleh menyemak draf garis panduan serta meninggalkan komen secara dalam talian melalui laman web rasmi CMCF di www.contentforum.my.
Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz