BUKAN ISLAM BOLEH SEBUT “ALHAMDULILLAH”, “INSHAALLAH” SELAGI TIDAK BERNIAT MENGHINA – IKIM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjelaskan bahawa penggunaan kalimah seperti “Alhamdulillah” dan “InshaAllah” oleh orang bukan Islam adalah harus dari sudut hukum syarak, selagi tidak disertai dengan niat mempermainkan atau menghina agama Islam.

Menurut kenyataan IKIM hari ini, pengakuan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan atau Pencipta tidak eksklusif kepada umat Islam dari sudut sebutan, sebagaimana dibuktikan melalui firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 25 yang menyatakan bahawa golongan musyrikin Mekah turut mengakui Allah sebagai Pencipta langit dan bumi.

IKIM memaklumkan, berdasarkan kaedah fiqh bahawa asal hukum bagi perkataan adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya, maka tiada larangan syarak terhadap bukan Islam yang memuji Allah atau menyandarkan sesuatu urusan kepada-Nya.

Pandangan ulama klasik seperti Imam al-Nawawi dan Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah turut menyokong bahawa pujian kepada Allah bukanlah syarat sah keislaman seseorang dan tidak dilarang untuk diucapkan oleh sesiapa, meskipun ia tidak dikira sebagai iman tanpa pengucapan syahadah.

Dalam konteks kontemporari, IKIM memetik pandangan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa kalimah seperti “Alhamdulillah” dan “InshaAllah” adalah sebahagian daripada khazanah bahasa Arab serta budaya Islam yang harmoni, dan dibenarkan selagi niatnya baik serta tidak bertujuan mengejek agama.

Namun, IKIM menegaskan hukum tersebut boleh berubah menjadi haram sekiranya disertai dengan niat penghinaan (istihza’), digunakan dalam konteks ritual keagamaan yang bercanggah dengan tauhid, atau diucapkan secara bersenda-gurau sehingga menimbulkan fitnah dan kemarahan umat Islam.

Menurut IKIM, penggunaan kalimah tersebut dalam konteks hubungan sosial dan kebudayaan boleh menjadi jambatan kepada keharmonian serta dakwah, selagi kemuliaannya terus dipelihara.

WhatsApp
Scroll to Top