BAYARAN DAM HAJI 1446H, KORBAN TANAH SUCI RM875

KUALA LUMPUR, 28 Mac (IKIM) – Kadar bayaran dam haji dan penyertaan korban di tanah suci ditetapkan sama pada RM875 untuk seekor qibas bagi musim haji 1446H/2025M.

Bakal jemaah haji musim tahun ini boleh melakukan pembayaran Dam menerusi aplikasi THiJARI atau di kaunter pejabat cawangan Tabung Haji (TH) seluruh negara sebelum berangkat ke Tanah Suci, manakala penyertaan korban di Tanah Suci adalah terbuka kepada semua pendeposit TH.   

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman, perkhidmatan bayaran Dam akan bermula hari Jumaat, 28 Mac 2025 sehingga 3 Julai 2025.

“Manakala, pembayaran penyertaan korban di Tanah Suci boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula dari 28 Mac 2025 sehingga 31 Mei 2025,” jelasnya.

Tambah beliau, TH bekerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang merupakan pembekal haiwan sembelihan yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi bagi urusan Dam dan korban bagi musim haji tahun ini.

“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran Dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana lebih mudah,” kata beliau.  

Sementara itu beliau menasihatkan orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran Dam dan korban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top