Kuala Lumpur, 10 Julai (IKIM) – Bank Rakyat terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa literasi dan tadbir urus kewangan masyarakat Islam melalui penganjuran Seminar Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Seminar yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Imarah Masjid Negeri Johor Bank Rakyat ini melibatkan penyertaan 162 peserta daripada 75 buah masjid di seluruh negeri Johor. Ia bertujuan memberi pendedahan terhadap pengurusan kewangan yang lebih cekap, telus dan berintegriti kepada pihak pengurusan masjid dan surau.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, seminar ini sejajar dengan aspirasi Bank Rakyat dalam memperkukuh ekosistem kewangan Islam ke arah ekonomi yang progresif, mampan dan inklusif.
“Tadbir urus kewangan yang baik bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengurusan institusi masjid dan surau, tetapi turut menyokong kesejahteraan masyarakat serta menjadi pemangkin kestabilan ekonomi dan pembangunan aktiviti kewangan sosial Islam,” ujarnya.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 338 masjid dan 430 surau di Johor telah membuka akaun bersama Bank Rakyat dengan jumlah simpanan melebihi RM23.3 juta. Bank Rakyat mengalu-alukan lebih banyak institusi masjid dan surau menggunakan kemudahan perbankan termasuk urusan wakaf, infaq dan khairat bagi pengurusan kewangan harian yang lebih mudah dan selamat.
Sebagai sokongan kepada pengimarahan institusi masjid dan surau, Bank Rakyat turut menyumbang sebanyak RM225,000 kepada 75 buah masjid dan surau dalam majlis berkenaan.
Selain itu, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan termasuk Program Korban Perdana bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada 9 Jun lalu. Melalui penyertaan pelanggan dan warga kerja yang menyimpan dalam Akaun Simpanan-i Tabung Qurban, sebanyak 30 ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada golongan asnaf serta institusi kebajikan seluruh Johor.
“Program sebegini bukan sahaja merapatkan hubungan antara Bank Rakyat dan masyarakat, malah turut memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan kemaslahatan Ummah,” kata Ahmad Shahril lagi.
Dalam mendukung pembangunan ekonomi negeri Johor, Bank Rakyat juga menyediakan program BRJohorNiaga yang telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM52.3 juta kepada 750 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sehingga Mei 2025. Program ini masih dibuka sehingga Mac 2026 dengan baki dana sebanyak RM47.6 juta.
Dalam bidang pendidikan, Bank Rakyat menyalurkan bantuan kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Johor melalui pembukaan Akaun Simpanan-i berjumlah RM12.5 juta bagi separuh tahun pertama 2025. Program Sekolah Tanpa Tunai di bawah inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) turut melibatkan 2,539 murid daripada empat buah sekolah sekitar Johor Bahru.
Sebagai tanggungjawab sosial korporat, Bank Rakyat menyerahkan zakat perniagaan negeri Johor bagi tahun 2024 berjumlah RM2.2 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat.