Kuala Lumpur, 15 Feb (IKIM) — Kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai pra-syarat pengeluaran visa haji bagi bakal jemaah yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran bermula musim haji 1447H/2026M.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan bayaran dam itu perlu dibuat lebih awal kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) sebagai sebahagian daripada proses permohonan visa haji.
TH akan menguruskan pembayaran dam berkenaan bagi pihak jemaah Malaysia, dengan jumlah bayaran ditetapkan sebanyak RM810 bagi seekor kibas untuk musim haji kali ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelaksanaan bayaran dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji di seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran.
Beliau berkata, TH mengambil inisiatif memaklumkan perkara itu lebih awal bagi memastikan kelancaran proses pengeluaran visa haji kepada jemaah Malaysia.
Bakal jemaah haji boleh membuat bayaran dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan. Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, TH akan membekukan jumlah tersebut daripada akaun mereka bermula 1 Syawal sebelum proses pendebitan dilaksanakan.
Menurut TH, jemaah yang melaksanakan haji Ifrad dan telah didebitkan bayaran dam akan menerima pemulangan semula selepas pengesahan dibuat, tertakluk kepada perakuan pihak TH.
Selain itu, penyertaan ibadah korban di Tanah Suci turut dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas, dengan pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH di seluruh negara.
TH turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang tawaran pembayaran dam dan korban yang mencurigakan daripada pihak tidak bertanggungjawab, memandangkan pelaksanaan ibadah tersebut memerlukan kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi.




