Disediakan oleh: Maslina Alias
PUTRAJAYA, 5 Dis (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merasmikan penyampaian Majlis Anugerah Pendakwah Negara (APN) sempena Kemuncak Program Dakwah Negara 2024 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmian, Mohd Na’im menasihatkan golongan pendakwah diingatkan agar menyampaikan dakwah dengan adab, hikmah dan akhlak mulia bagi memastikan mesej Islam diterima dengan baik oleh Masyarakat.
Beliau mengambil contoh kejadian yang tular di Indonesia melibatkan seorang pendakwah yang menyindir seorang penjual teh baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua untuk menjaga keperibadian dan akhlak dalam berdakwah.
“Tugas dakwah bukanlah mengajak orang untuk bergaduh dan bermusuhan. Dakwah juga tidak boleh dengan cara sindiran, cacian, makian apatah lagi merendah-rendahkan orang lain.
“Dakwah itu perlu dengan ilmu, hikmah disulami dengan senyuman serta akhlak budi yang memikat hati,” katanya.
Mohd Na’im berharap semua pendakwah menjaga adab dalam menyampaikan mesej Islam secara berkesan dan menjadikan dakwah sebagai jalan membawa kebaikan kepada umat manusia tanpa menimbulkan perpecahan atau permusuhan dalam kalangan masyarakat.
Program APN 2024 hari ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan pendakwah yang tidak pernah mengenal erti penat dalam melestari gerakan dakwah di negara ini di samping meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat nasional atau global.
Program APN 2024 tahun ini merupakan edisi kedua meraikan 16 pemenang daripada pelbagai kategori melibatkan individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Antara penerima anugerah, Haji Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah bagi kategori Anugerah Perdana Daie Murabbi; Ustazah Maznah Daud, kategori Anugerah Pendakwah Muslimah dan Hadiah Sahabat Dakwah YADIM (Kategori Ilmuwan), Sheikh Muhammad Nazrul Abdul Nasir, Dr. Ahmad Kamil Jamilin dan Prof. Dr. Syarifah Hayati Syed Ismail.
Mohd Na’im turut melancarkan buku “Nooh Gadot Tokoh Pendakwah Tersohor Johor” pada program hari ini.
Turut hadir dalam majlis ini Yang Di Pertua (YDP) YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan ketua-ketua agensi agama.