KUALA LUMPUR, 14 Ogos (IKIM) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan prinsip tabayyun atau semakan fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung isu-isu yang tular di media.
Menurut beliau, dalam menangani isu yang melibatkan sensitiviti agama dan nilai masyarakat, semua pihak perlu bertenang dan tidak bertindak terburu-buru.
“Perlu mendapatkan maklumat terperinci supaya kita lebih bertanggungjawab. Sentiasa tabayyun dalam apa yang dilakukan sebelum membuat komen,” katanya.
Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai tindakan beberapa lelaki berpakaian wanita pada acara KL Fashion Week baru-baru ini.
Namun beliau menasihati semua pihak, terutama umat Islam untuk sentiasa menjaga adab dan etika dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Setiap perkara yang dilakukan perlu ada adab dan etika yang sebaiknya dalam Islam. Ini termasuk cara kita mengajak kepada kebaikan,” ujarnya.
Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa untuk mempersembahkan koleksi rekaan terkini.
Bagaimanapun, acara tersebut turut menjadi perhatian media sosial berikutan penampilan beberapa kehadiran lelaki yang berpakaian seperti Wanita, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Zulkifli ditemui wartawan selepas menghadiri Program National CEO Forum, anjuran KNKV Group di ibu negara hari ini yang menghimpunkan 200 pemain industri terdiri pemimpin industri, pembuat dasar dan usahawan di bawah satu bumbung bagi membincangkan masa depan jenama Malaysia.
Beliau yang juga salah seorang ahli panel pada sesi forum membincangkan tajuk Islamic Businesses yang bukan eksklusif kepada umat Islam tetapi juga memberi manfaat kepada yang bukan Islam sama ada di Malaysia dan dan di dunia.