Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
KUALA LUMPUR, 24 Julai (IKIM) – Masjid Negara bakal mengadakan Karnival Masjid Negara Kuala Lumpur (MNKL) 2026 yang berlangsung pada 16 hingga 20 September 2026 bagi mengkukuh peranannya sebagai pusat komuniti.
Imam Besar Masjid Negara, Dr. Amru Alhaz Adnan berkata, karnival itu turut diakhiri dengan kemuncak acara MNKL Unity Fund Run 2026 pada 20 September.
Beliau berkata, karnival berkonsepkan komuniti itu turut menawarkan pelbagai aktiviti bagi memupuk semangat perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat pebagai kaum, agama dan setiap peringkat umur.

“Kita menawarkan pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat kanak-kanak, belia, dan warga emas. Kita mahu lihat masjid sebagai tempat inklusif bagi setiap lapisan masyarakat dengan memperluaskan fungsinya,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, karnival itu juga turut mempromosikan Masjid Negara sebagai destinasi pelancongan Islam bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 susulan rekod kira-kira 315,000 pelancong pada 2025.
Pengurus Program, Suffian Ahmad Affindi berkata, kemuncak karnival MNKL Unity Fund Run menyasarkan penyertaan minimum seramai 1,500 peserta pelbagai kaum dan juga bangsa.
“Acara larian pada hari terakhir karnival itu diturut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari,” katanya.

Tambah beliau, acara larian turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, tablet, telefon pintar, dan pakej umrah bagi lima pemenang cabutan bertuah dengan pendaftaran dibuka hingga 10 September ini.
Suffian berkata sepanjang penganjuran karnival, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk festival makanan, pertandingan azan, pertandingan khat, e-Sport dan banyak lagi.
“Karnival itu turut menampilkan ceramah oleh beberapa pendakwah terkenal termasuk Ustaz Abdul Somad, Datuk Mohammad Kazim Elias dan kumpulan pendakwah Tiga Beradik, selain persembahan artis berkonsepkan patuh syariah,” katanya.
Katanya seramai 25,000 hingga 30,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang karnival itu yang berlangsung dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.




