Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
SHAH ALAM, 24 Julai (IKIM) – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mengambil langkah memperkukuh perlindungan pengguna dalam industri pelancongan Islam menerusi penganjuran Karnival Pelancongan Islam PAPUH–Muslim Travel Fair 2026 yang bakal menghimpunkan agensi Umrah berlesen serta pemain industri berkaitan.
Presiden PAPUH, Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham berkata, karnival tersebut diwujudkan sebagai platform selamat kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih serta membuat pilihan pakej umrah dan pelancongan mesra Muslim dengan lebih yakin.
Menurut beliau, peningkatan permintaan terhadap pakej umrah turut menyaksikan kewujudan kes penipuan melibatkan tawaran pakej yang tidak sah, sekali gus memberi kerugian kepada jemaah.

“Melalui karnival ini, orang ramai boleh berurusan terus dengan agensi umrah yang sah dan berlesen, mendapatkan penerangan lengkap serta membandingkan pakej yang ditawarkan sebelum membuat keputusan.
Ini penting supaya masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu murah tanpa menyemak latar belakang dan kredibiliti syarikat,” katanya dalam sidang media Karnival Pelancongan Islam PAPUH–Muslim Travel Fair 2026.
Beliau berkata, karnival berkenaan bukan sekadar medan promosi pakej perjalanan, sebaliknya menjadi ruang pendidikan pengguna bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memilih agensi yang mematuhi syarat pelesenan serta mempunyai rekod perkhidmatan yang diyakini.
Karnival Pelancongan Islam PAPUH–Muslim Travel Fair 2026 akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.

Menurut Razali sambutan daripada pemain industri amat menggalakkan apabila sebanyak 52 syarikat dan organisasi telah mengesahkan penyertaan melibatkan 76 reruai, dengan hanya 24 reruai lagi masih tersedia.
Tambah beliau, karnival itu akan menghimpunkan pelbagai pemain industri termasuk agensi Umrah dan Haji berlesen, syarikat penerbangan, hotel, institusi kewangan Islam, syarikat takaful serta organisasi pelancongan.
Antara rakan strategik yang turut terlibat ialah IKIMfm, Saudia Airlines, RHB Bank, Bank Rakyat, dan Kingston Hotel.
“Keistimewaan karnival ini ialah masyarakat dapat bertemu sendiri dengan wakil industri, mendapatkan konsultasi secara terus dan membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat, bukannya hanya bergantung kepada tawaran di media sosial yang belum tentu sah,” katanya.

Majlis perasmian karnival itu dijadualkan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 31 Julai 2026.
PAPUH menyasarkan kehadiran puluhan ribu pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran selain berhasrat menjadikan Muslim Travel Fair sebagai acara pelancongan Islam utama di Malaysia.
Masyarakat turut digalakkan memanfaatkan karnival berkenaan untuk merancang perjalanan Umrah dan percutian mesra Muslim dengan lebih yakin, selamat serta mengelakkan risiko menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan.




