KUALA LUMPUR, 22 Julai (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan pendirian menolak sebarang bentuk campur tangan asing yang boleh mencabar kedaulatan Malaysia serta menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan dasar luar negara yang berprinsip.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, surat daripada lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengambil tindakan terhadap Malaysia berasaskan dakwaan tidak berasas merupakan satu bentuk campur tangan asing yang jelas mencabar kedaulatan negara.
Menurut beliau, Malaysia akan terus berpegang kepada dasar luar yang berasaskan kedaulatan negara, prinsip undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan serta pendirian konsisten dalam mempertahankan hak rakyat Palestin yang dizalimi.
Beliau menegaskan, Malaysia tidak pernah mengiktiraf entiti haram Israel, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengannya dan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Katanya, negara akan terus mempertahankan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip dengan menjalinkan hubungan baik bersama negara-negara berdaulat, namun kekal berani menyuarakan kebenaran apabila berlaku pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Zulkifli turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu mempertahankan maruah, kebebasan dan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing.
Beliau berkata, rakyat juga perlu berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri dalam mempertahankan kepentingan negara serta memperjuangkan nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Kenyataan itu dikeluarkan hari ini sebagai respons terhadap perkembangan melibatkan tindakan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat berhubung pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa.




