MPI PERKASA MASA DEPAN KEWARTAWANAN MELALUI LATIHAN AI DAN KESELAMATAN SIBER

KUALA LUMPUR, 17 Julai (IKIM) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi merasmikan Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025, yang turut menyaksikan Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh pembangunan profesional pengamal media negara dalam era digital.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, walaupun teknologi berkembang pesat, nilai teras kewartawanan seperti integriti, ketepatan fakta dan kepercayaan masyarakat tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata, sambutan luar biasa terhadap Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 yang mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan membuktikan semangat wartawan Malaysia untuk menghasilkan laporan berkualiti terus utuh.

Menurut beliau, AI mampu meningkatkan kecekapan bilik berita, namun tidak boleh menggantikan pertimbangan editorial, pengalaman di lapangan serta nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada profesion kewartawanan.

Sehubungan itu, MPI sedang membangunkan Diploma Profesional Kewartawanan Kecerdasan Buatan (AI) dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber hasil kerjasama dengan Malaysian Productivity Corporation (MPC), UTMSpace dan London Examination Board (LEB). Program berkenaan dijangka dibuka kepada pencalonan agensi media mulai penghujung Julai ini.

Dalam perkembangan sama, Yong berkata MPI turut memperkukuh budaya penyelidikan melalui e-Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute yang kini diindekskan dalam MyCite, selain melancarkan buku “Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan” yang menghimpunkan pengalaman serta cabaran 23 wartawan dan editor tempatan.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan MPI sebagai Industry Lead Body (ILB) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai langkah penting dalam memperkasakan pembangunan modal insan industri media menerusi pembangunan standard kemahiran, pensijilan profesional dan latihan berimpak tinggi.

Pada majlis itu, ucapan Presiden MPI turut dipersembahkan menggunakan pendekatan penceritaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperlihatkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh komunikasi tanpa mengabaikan integriti serta nilai kemanusiaan dalam kewartawanan.

Turut hadir majlis Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali.

WhatsApp
Scroll to Top