KUALA LUMPUR, 12 Julai (IKIM) – Tragedi pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, Bosnia dan Herzegovina yang meragut lebih 8,000 nyawa lelaki serta kanak-kanak Muslim etnik Bosniak pada Julai 1995 perlu terus diingati sebagai peringatan kepada dunia agar menolak segala bentuk kebencian, perpecahan dan kezaliman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, meskipun Srebrenica ketika itu telah diisytiharkan sebagai kawasan selamat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kawasan tersebut tetap ditawan tentera Serb Bosnia sehingga mengakibatkan berlakunya antara jenayah genosid paling tragis dalam sejarah moden.

Menurut beliau, penderitaan mangsa dan keluarga masih belum berakhir apabila sehingga kini baki rangka mangsa terus dikenal pasti untuk dikebumikan, manakala lebih 1,000 individu masih dilaporkan hilang.
Beliau turut mengimbau peranan Malaysia yang konsisten memperjuangkan nasib umat Islam Bosnia sejak era 1990-an di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Timbalannya yang kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Anwar ketika itu mengetuai Barisan Bertindak Bosnia serta menghimpunkan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia dalam perhimpunan solidariti di Stadium Merdeka pada tahun 1994, manakala Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan terawal yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Bosnia.
Selain memperjuangkan isu Bosnia di pentas antarabangsa, Malaysia turut membuka ruang perlindungan kepada pelarian Bosnia serta menyediakan peluang pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam aspek keselamatan, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memainkan peranan penting dalam misi pengaman di Bosnia dan Herzegovina di bawah panji PBB antara tahun 1993 hingga 1998 dengan menghantar seramai 10,514 pegawai dan anggota menerusi penugasan Batalion Malaysia (MALBAT) serta Pasukan Pelaksana Damai (IFOR).

Dr. Zulkifli yang pernah berkunjung ke Pusat Peringatan Srebrenica-Potočari berkata tragedi itu harus menjadi iktibar kepada generasi muda agar terus mempertahankan nilai keamanan, keadilan dan kemanusiaan, di samping mendoakan agar para syuhada Srebrenica ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang mendapat kemuliaan serta keluarga mangsa terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan.
Kredit foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan




