KUALA LUMPUR, 12 Julai (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein, sejurus selepas beliau menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa pada 10 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan bahawa meskipun Sheikh Muhammad Hussein kemudiannya dibebaskan, tindakan terhadap seorang pemimpin agama ketika melaksanakan amanah di masjid suci umat Islam merupakan satu pencabulan terhadap kebebasan beragama serta menjejaskan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), supaya mengambil tindakan tegas bagi memastikan hak beribadah, keselamatan para pemimpin agama serta status Masjid Al-Aqsa terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus menyokong segala usaha ke arah mewujudkan keamanan yang adil, mempertahankan hak asasi rakyat Palestin serta menamatkan segala bentuk penindasan terhadap mereka.




