Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
KUALA LUMPUR, 10 Julai (IKIM) – Amanah Warisan Berhad (AWARIS) terus mencatat pencapaian memberangsangkan dalam industri perancangan harta apabila jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) syarikat itu kini mencecah RM12.2 bilion.
Pencapaian itu direkodkan hasil tadbir urus yang cekap sepanjang lapan tahun beroperasi, sekali gus membuktikan kredibiliti syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 dalam meraih kepercayaan pelanggan dan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan AWARIS, Prof. Datuk Haji Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata jumlah aset berkenaan tidak dicapai dalam tempoh yang singkat, sebaliknya merupakan hasil proses berterusan yang didorong oleh kecekapan pengurusan serta reputasi barisan profesional syarikat.
“Antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah bakat dan kepakaran warga AWARIS yang berurusan dengan pelanggan berpendapatan tinggi atau ‘high net worth clients‘. Apabila mereka memberikan nasihat yang tepat, pelanggan akan yakin dan mendapatkan perkhidmatan kami.

“Apabila kita memiliki tenaga kerja yang berkualiti, ia turut mencerminkan rekod prestasi syarikat yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Penghargaan AWARIS 2026 di sini, semalam.
Ahmad Saruji berkata kekuatan sistem sokongan dalaman syarikat yang disokong oleh proses kerja yang cekap serta infrastruktur sedia ada turut menjadi antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelanggan dan pelabur terhadap AWARIS.

Beliau berkata, kepekaan terhadap keperluan masyarakat juga menjadi antara pemacu utama pertumbuhan syarikat.
“Dalam mendepani cabaran ekonomi dan perkembangan teknologi yang begitu pesat, kita perlu sentiasa peka dan sensitif terhadap keperluan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, AWARIS kini memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi infrastruktur teknologi maklumat (IT) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

“Sistem digital ini membolehkan pelanggan, termasuk yang berada di luar negara, terus mengakses perkhidmatan kami pada bila-bila masa tanpa sebarang kekangan,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan syarikat terus berdaya saing, AWARIS merancang untuk memperkukuh analisis data demografi serta pendapatan isi rumah pelanggan bagi membolehkan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran semasa dengan lebih berkesan.

Pada majlis sama, AWARIS turut merakamkan penghargaan kepada IKIMfm atas kerjasama sebagai rakan media strategik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta dan sistem perwarisan di Malaysia.




