TASHKENT, 8 Julai (IKIM) – Warisan keilmuan tokoh hadis agung, Imam al-Bukhari dan Imam al-Tirmizi, wajar dijadikan panduan dalam menangani penularan maklumat palsu, memperkukuh etika penyampaian ilmu serta membina semula kepercayaan masyarakat dalam era digital.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohamed Azam Mohamed Adil berkata metodologi ilmu hadis yang diasaskan oleh kedua-dua tokoh tersebut bukan sekadar memelihara sunnah Rasulullah SAW, malah membentuk sistem intelektual yang berteraskan proses pengesahan fakta, kredibiliti sumber, pertimbangan hukum dan tanggungjawab moral.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi pleno bertajuk Intellectual Potential in Islamic Civilisation: Historical Models and Contemporary Interpretations sempena Forum Antarabangsa Tamadun Islam Pertama di Tashkent.
Menurut beliau, semangat disiplin ilmu hadis amat relevan dalam mendepani cabaran dunia digital hari ini, dengan mengutamakan amalan menyemak sebelum berkongsi, meneliti sebelum mempercayai, memahami sebelum menghukum serta menjaga adab sebelum mengeluarkan pandangan.
Mohamed Azam turut menjelaskan bahawa Imam al-Bukhari membina budaya keilmuan yang meletakkan kebenaran, amanah dan bukti sebagai asas autoriti, manakala Imam al-Tirmizi memperkukuh pendekatan tersebut dengan menggabungkan periwayatan hadis bersama penilaian ilmiah dan perbahasan fiqh bagi memastikan ajaran Rasulullah SAW dapat diaplikasikan secara praktikal dalam kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, disiplin riwayah dan dirayah yang menjadi teras pengajian hadis masih relevan sebagai model pembentukan etika maklumat, pemikiran kritis serta komunikasi yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menggesa dunia Islam memperkukuh usaha pendigitalan manuskrip, memperluas kerjasama penyelidikan antarabangsa serta membangunkan platform penyebaran ilmu yang berteraskan prinsip kesahihan, ketepatan dan integriti sebagaimana yang diwariskan oleh para ulama hadis.




