SURAU JUMAAT SEMENTARA OUTREACH OASIS DIBUKA MULAI HARI INI

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

BUKIT BINTANG, 19 Jun (IKIM) – Pelaksanaan solat Jumaat pertama di Surau Jumaat Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) hari ini menjadi satu lagi usaha memperkukuh syiar Islam dan memenuhi keperluan rohani masyarakat Islam di kawasan tumpuan bandar raya Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata pelaksanaan ibadah tersebut berjaya direalisasikan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan IKRAM, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta pihak OOBB sendiri.

Menurut beliau, kejayaan menganjurkan solat Jumaat pertama di Bukit Bintang merupakan hasil usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan ibadah yang lebih dekat dan mudah diakses oleh komuniti Muslim di kawasan berkenaan.

“Walaupun dalam suasana yang sederhana, namun kehadiran jemaah amat memberangsangkan dan ini menunjukkan keperluan yang tinggi terhadap kemudahan ibadah di pusat bandar ini,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di OOBB hari ini.

Beliau turut mendedikasikan usaha tersebut kepada Allahyarham Dr. Abdul Halim El-Muhammady yang disifatkan sebagai individu yang menginspirasikan penubuhan pusat komuniti OOBB sebagai platform dakwah dan pembangunan masyarakat di Bukit Bintang.

Beliau berkata surau Jumaat sementara ini akan beroperasi sehingga projek pembinaan surau Jumaat kekal yang dicadangkan di Bangunan Yayasan Selangor siap sepenuhnya serta diwartakan.

“Insya-Allah kerja-kerja pembangunan akan dimulakan dalam masa terdekat dan kita menjangkakan masjid ini dapat direalisasikan seawal tahun hadapan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli memaklumkan sebuah masjid baharu yang mampu menampung lebih 1,500 jemaah sedang diusahakan oleh MAIWP, JAWI dan beberapa rakan strategik bagi memenuhi keperluan umat Islam di kawasan tersebut.

Beliau menjelaskan kewujudan masjid baharu itu amat diperlukan memandangkan kemudahan ibadah sedia ada di sekitar Bukit Bintang seperti masjid dan surau Jumaat di beberapa premis korporat tidak mampu menampung pertambahan jumlah jemaah selain lokasinya yang agak jauh daripada pusat tumpuan masyarakat.

Sementara menunggu pembinaan masjid tersebut siap, OOBB akan terus berfungsi sebagai pusat komuniti dan dakwah yang menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan serta aktiviti pembangunan ummah melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan Islam.

Zulkifli memaklumkan surau berkenaan mampu menampung kira-kira 150 jemaah pada satu-satu masa, namun jumlah kehadiran pada solat Jumaat pertama hari ini dipercayai melebihi kapasiti tersebut berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Beliau turut menyifatkan khutbah Jumaat yang disampaikan hari ini bertemakan peranan masjid dan surau sebagai sangat bertepatan dalam mengingatkan umat Islam mengenai fungsi institusi tersebut sebagai pusat ibadah, ilmu dan pembangunan masyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top