STUDIO TV IKIM DIRASMI, PERKUKUH PENYAMPAIAN DAKWAH DIGITAL DAN MEDIA ISLAM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa penyampaian dakwah dan media Islam menerusi perasmian Studio tvIKIM oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hj Othman.

Majlis perasmian turut disaksikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil serta Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Haji Mohd Roslan Mohd Salim, bersama-sama Pengarah-Pengarah Pusat dan warga IKIM yang hadir memeriahkan acara.

Dalam ucapannya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof menzahirkan penghargaan dan kata-kata semangat kepada seluruh warga IKIM yang telah berjaya merealisasikan penubuhan studio tersebut sebagai platform baharu bagi memperluaskan penyebaran ilmu dan dakwah kepada masyarakat.

Beliau turut berharap Studio tvIKIM dapat menghasilkan lebih banyak kandungan berkualiti, inovatif dan memberi impak besar kepada masyarakat, selaras dengan usaha IKIM memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dakwah serta wacana Islam menerusi pelbagai medium digital.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menyifatkan kewujudan studio berkenaan sebagai satu langkah penting dalam memperkasakan penyampaian kandungan Islam kepada masyarakat secara lebih meluas dan berkesan.

Menurut beliau, meskipun studio tersebut masih berada dalam fasa awal pembangunan, kemudahan yang disediakan mampu menjadi pusat penghasilan pelbagai program dakwah dan ilmiah yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Rakaman-rakaman, program-program untuk kegunaan TV IKIM dan juga IKIM FM serta pusat media keseluruhannya dapat dilaksanakan dengan lebih baik melalui kemudahan yang ada. Kita berharap dengan adanya OTT yang tersendiri pada masa hadapan, penyampaian ilmu dan dakwah dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau menambah, studio itu bukan sahaja akan digunakan untuk rakaman program, malah berpotensi menjadi pusat penghasilan kandungan yang dapat menyebarkan kefahaman Islam secara lebih menyeluruh kepada masyarakat.

Penubuhan Studio TV IKIM dilihat sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh transformasi media Islam negara, sekali gus menyokong agenda pendigitalan dakwah dan penyampaian ilmu kepada khalayak yang lebih luas.

WhatsApp
Scroll to Top