KUALA LUMPUR, 22 Mei (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan institusi Raja merupakan teras penting dalam sistem kenegaraan Malaysia yang dibina berasaskan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kedudukan institusi Raja bukan sahaja mencerminkan sejarah dan identiti negara, malah menjadi tunjang kepada kestabilan, perpaduan serta kesinambungan pemerintahan negara.
Menurut beliau, prinsip kedua Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” menggambarkan komitmen seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati institusi Raja sebagai lambang kedaulatan negara dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, prinsip tersebut perlu difahami dan dihayati secara menyeluruh selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Utama Negara, manakala Perkara 44 menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian daripada institusi Parlimen bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Peruntukan ini membuktikan institusi Raja mempunyai kedudukan penting dan sah di sisi Perlembagaan dalam struktur pemerintahan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, institusi Raja turut memainkan peranan penting dalam memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu katanya, institusi Raja juga berperanan menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping kepentingan sah kaum-kaum lain sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau lagi, Perkara 181(1) turut menegaskan bahawa kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu kekal terpelihara.
Sehubungan itu, IKIM menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kefahaman mengenai sistem Raja Berperlembagaan serta memelihara adab dan tanggungjawab dalam membincangkan perkara berkaitan institusi Raja.
Beliau turut menegaskan pendidikan kenegaraan dan penghayatan terhadap Perlembagaan perlu terus diperkasakan demi memastikan perpaduan, kestabilan dan keharmonian negara sentiasa terpelihara.




