SEPANG, 20 Mei 2026 (IKIM) – Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Fasa 1 bagi musim haji 1447H/2026M berjaya dilaksanakan dengan lancar, teratur dan penuh jayanya hasil kerjasama bersepadu serta komitmen tinggi semua petugas dan agensi yang terlibat.
Timbalan Pengarah Gerakan OHTA, Haji Mohd Norber Kassim berkata kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil usaha profesionalisme, dedikasi dan pengorbanan besar seluruh petugas yang bertugas sepanjang operasi berlangsung.
Menurut beliau, OHTA memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran keseluruhan perjalanan jemaah haji Malaysia, bermula daripada urusan pelepasan di tanah air sehingga keberangkatan ke Tanah Suci.

“Operasi Haji Tanah Air merupakan antara elemen utama yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia menerima pengiktirafan berprestij Labbaittom Diamond Award. Pengiktirafan ini membuktikan kecemerlangan pengurusan haji negara serta tahap profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh petugas di setiap peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup sempena Majlis Kesyukuran Operasi Haji Tanah Air Fasa 1 1447H/2026M yang berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang.
Turut hadir majlis ialah Penolong Ketua Bahagian Operasi Domestik, Haji Ashrof Shamsuddin; Pengarah TH Negeri Selangor, Hajah Zurita Ahmad Raffie; Pengurus Operasi Domestik, Haji Hussin Samsuri dan Pengurus Besar IKIMfm, Haji Mohd Erwan Johari.

Tambah beliau, majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan operasi haji di tanah air sebelum para jemaah berlepas ke Tanah Suci.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada 15 agensi yang terlibat termasuk IKIMfm atas kerjasama serta sokongan padu dalam memastikan operasi haji tahun ini dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berkesan.
Dalam pada itu, Mohd Norber turut merakamkan rasa hormat dan jutaan terima kasih kepada semua petugas atas segala pengorbanan yang dicurahkan, termasuk masa bersama keluarga, tenaga, emosi dan komitmen sepanjang operasi berlangsung.
“Segala jasa dan bakti yang diberikan amat besar nilainya dan akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sumbangan bermakna dalam memastikan kelancaran keberangkatan para Dhuyufurrahman,” katanya.

Beliau berharap semangat kerjasama dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh semua petugas akan terus dikekalkan demi memastikan pengurusan haji Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik dan menjadi contoh di peringkat antarabangsa.
Sementara itu Mohd Norber berkata sepanjang pelaksanaan OHTA Fasa 1 musim haji 1447H/2026M, enam bakal haji dilaporkan meninggal dunia sebelum sempat berangkat ke Tanah Suci. Mereka terdiri daripada dua bakal haji dari Pahang, serta masing-masing seorang dari Selangor, Perak, Johor dan Terengganu.
Beliau memaklumkan bahawa urusan Badal Haji bagi kesemua bakal haji tersebut akan dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) pada musim haji tahun ini sebagai memenuhi hasrat mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima.




