HAFIZ HAMIDUN TERUJA TIMBA PENGALAMAN JADI PENYAMPAI IKIMFM SEMPENA ULANG TAHUN KE-25

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

ALOR SETAR, 7 Mei (IKIM) – Sambutan ulang tahun ke-25 IKIMfm menjadi lebih istimewa apabila penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun tampil buat pertama kali sebagai penyampai undangan dalam siaran langsung khas dari Menara Alor Setar, Kedah.

Kemunculan istimewa Hafiz itu sempena meraikan perjalanan 25 tahun IKIMfm yang terus setia menemani pendengar sejak penubuhannya pada tahun 2001.

Sebelum ini beliau lebih dikenali sebagai artis dan komposer jemputan di IKIMfm, Hafiz kali ini berpeluang merasai sendiri pengalaman berada di belakang tabir sebagai penyampai radio. Beliau digandingkan bersama penyampai Syafiq Salleh dan Suffian Amrin dalam siaran khas selama lima jam bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Menurut Hafiz peluang tersebut memberikan pengalaman baharu yang cukup bermakna buat dirinya.

Katanya, sepanjang penglibatan bersama IKIMfm sebelum ini, beliau hanya hadir sebagai artis jemputan dan komposer, namun tidak pernah diberi peluang mengendalikan siaran secara langsung.

“Saya rasa sangat terharu dan berterima kasih kerana diberikan kepercayaan untuk bersama-sama DJ Syafiq dan DJ Pyan mengendalikan siaran khas ini. Ia satu pengalaman yang sangat berbeza dan saya benar-benar gembira dapat bersama pendengar IKIMfm,” katanya.

Mengulas cabaran bersiaran secara langsung, Hafiz mengakui tugas sebagai penyampai radio memerlukan persediaan mental dan fizikal yang rapi.

Menurut beliau, komunikasi secara langsung memerlukan fokus tinggi serta kepekaan terhadap setiap perkara yang disampaikan kepada pendengar.

“Siaran langsung ini memerlukan persiapan yang teliti. Kita perlu sentiasa bersedia dan memastikan penyampaian berjalan dengan baik supaya dapat memberikan yang terbaik kepada pendengar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz turut menitipkan penghargaan kepada pendengar setia IKIMfm yang terus memberikan sokongan kepada stesen radio berteraskan nilai Islamik itu.

Beliau menyifatkan IKIMfm bukan sekadar stesen radio biasa, malah sebuah platform yang menawarkan kandungan bermanfaat serta membawa mesej positif dan kerohanian kepada masyarakat.

“Saya harap pendengar akan terus menyokong IKIMfm di mana sahaja berada kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada kandungan yang dibawakan,” katanya lagi.

Siaran luar dari Menara Alor Setar itu turut mencerminkan usaha berterusan IKIMfm untuk terus mendekati pendengar selepas suku abad keudara.

Gabungan lokasi ikonik, penyampai berpengalaman dan penampilan eksklusif Hafiz Hamidun sebagai penyampai undangan berjaya mencipta suasana istimewa dan menjadi momen manis buat peminat muzik kerohanian tanah air.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menubuhkan IKIMfm pada tahun 2001 dan sehingga kini stesen itu kekal komited menyampaikan kandungan positif, ilmiah dan kerohanian menerusi pelbagai platform penyiaran.

WhatsApp
Scroll to Top