KEUNIKAN TULIP ‘MANJA’ CURI TUMPUAN DI TANAH TINGGI

Wartawan: Muhammad Suhairi Fakri

CAMERON HIGHLANDS,12 April (IKIM) – Cameron Highlands sekali lagi mencuri perhatian apabila bunga tulip yang sinonim dengan negara beriklim sejuk kini mekar indah di bumi Malaysia, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa kepada pengunjung tempatan tanpa perlu ke luar negara.

Fenomena unik ini dapat disaksikan di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands yang menampilkan keindahan tulip pelbagai warna, menjadikan ia antara tarikan paling dinanti-nantikan dalam kalangan pelancong khususnya pencinta flora.

Pengurus Ladang MARDI, Nur Shahirah Jahuri berkata tulip merupakan bunga “manja” kerana sensitif terhadap haba.

Beliau berkata proses memindahkan bebawang (benih) dari pasu ke tanah perlu dilakukan dengan segera kerana jika terlalu lama terdedah, ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan pembungaan tulip.

Dalam pada itu, penanaman tulip berdepan cabaran utama dari segi faktor cuaca panas dan lembap.

“Tulip adalah tanaman beriklim sederhana, manakala kita di Asia beriklim tropika yang panas dan lembap. Cara mengatasinya, kami menggunakan dua kaedah iaitu teknik vernalization (vernialisasi) di mana bebawang direhatkan selama lima hari serta kaedah penyiraman yang tidak terlalu lembap dan tidak terlalu kering kerana bebawang itu sendiri mempunyai lapisan kulitnya,” kata beliau.

Menurut Muhammad Khairudden, pengunjung dari Kuala Lumpur yang merupakan anak jati Pahang, kunjungannya bersama keluarga ke Cameron Highlands adalah untuk melihat bunga tulip yang jarang ditemui dalam cuaca Malaysia.

“Kami kira beruntung kerana dapat melihat bunga tulip di Cameron Highlands kerana kita tahu susah untuk hidup di negara yang berkhatulistiwa macam negara Malaysia tapi harini dapat tengok tulip hidup di Cameron Highlands memberikan kejayaan kepada MARDI,” katanya.

Penanaman tulip oleh MARDI di Cameron Highlands bukan sahaja menonjolkan keindahan flora yang jarang ditemui di negara ini, malah membuktikan keupayaan teknologi pertanian tempatan dalam menyesuaikan tanaman beriklim sederhana dengan persekitaran tropika, sekali gus memperkukuh daya tarikan sektor agro-pelancongan negara.

Sementara itu, tarikan di tanah tinggi bukan sahaja tertumpu kepada bunga tulip, malah turut menampilkan ladang teh tertua di Malaysia sejak 1927 serta kilang teh pertama negara yang beroperasi sejak 1935, sekali gus melengkapkan pengalaman agro-pelancongan yang menggabungkan keindahan landskap, sejarah dan pendidikan pertanian di Cameron Highlands.

WhatsApp
Scroll to Top