Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
PUTRAJAYA, 9 April (IKIM)- Teknologi daging kultur dilihat sebagai inovasi penting dalam menangani cabaran kerterjaminan isu global sistem makanan dunia dan menjadi isu kontemporari yang semakin penting susulan peningkatan populasi dunia.
Perkara itu dibincangkan dalam Persidangan Meja Bulat “Daging Kultur Dari Perspektif Islam: Menilai keselamatan, Kesihatan dan Kelestarian Makanan Masa Depan” yang berlangsung di Wisma Tani, di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof.Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman dalam ucapan perasmian berkata dunia kini berada dalam kekangan sumber semula jadi, perubahan iklim dan peningkatan kos pengeluaran.
“Perkembangan di peringkat global menunjukkan bahawa daging kultur bukan lagi sekadar konsep makmal, tetapi sedang bergerak ke arah realiti industri,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan dalam konteks Islam, persoalan daging kultur tidak boleh dilihat melalui teknologi sahaja namun perlu dinilai secara menyeluruh mengikut perspektif syariah.
Beliau berharap agar umat Islam untuk bersikap terbuka terhadap perkembangan ilmu dan teknologi, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip syariah.

Susulan itu, penghasilan daging kultur salah satu alternatif baharu supaya bekalan makanan dunia mencukupi.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr.Mohamed Azam Mohamed Adil dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.




