KUALA LUMPUR, 4 April (IKIM) – Hubungan antara Malaysia dan wilayah Samarkand, Uzbekistan terus diperkukuh menerusi pertemuan rasmi antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dan Gabenor Wilayah Samarkand, Adiz Boboev.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu membuka ruang perbincangan ke arah memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek pensijilan halal.

Menurut Zulkifli, kerjasama berkaitan halal yang telah dimeterai sebelum ini kini sedang diperluas kepada bidang yang lebih menyeluruh, sejajar dengan usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Beliau turut menyifatkan Samarkand sebagai sebuah kota yang memiliki nilai sejarah keilmuan Islam yang tinggi, melahirkan tokoh-tokoh agung yang memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia.

Antara tokoh tersebut termasuk Muhammad al-Bukhari, Al-Biruni dan Al-Khwarizmi.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Kompleks Imam Bukhari yang baharu telah siap sepenuhnya dan dibuka secara rasmi pada Mac lalu, sekali gus menjadi mercu tanda penting warisan Islam di rantau itu.

Zulkifli juga menerima jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Samarkand, yang disifatkannya sebagai peluang bermakna untuk menjejakkan kaki ke bumi para ulama dan ilmuwan.
Beliau berharap hubungan yang terjalin akan terus diperkukuh, bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan pembangunan, malah turut menyumbang kepada penyuburan semangat keilmuan serta peradaban Islam antara kedua-dua pihak.
Kredit foto: YB Senator Dr. Zulkifli Hasan




