UNIMAIWP DIMASYHUR SEBAGAI UNIVERSITI PENUH SEMPENA KONVOKESYEN KE-16

KUALA LUMPUR, 4 April (IKIM) – Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) mencatat sejarah tersendiri apabila secara rasmi dinaiktaraf sebagai universiti penuh dengan nama baharu Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP).

Pemasyhuran tersebut berlangsung sempena Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Kali Ke-16 yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli bin Hasan sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan institusi pendidikan tinggi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam majlis sama, seramai 1,269 graduan diraikan merangkumi pelbagai peringkat pengajian termasuk Doktor Falsafah, Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Asasi serta Persijilan Profesional.

Penyampaian skrol kepada graduan telah disempurnakan oleh Azman Hashim selaku Canselor UniMAIWP, Asma Ismail selaku Pro-Canselor serta Noor Inayah Ya’akub.

Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik para graduan, malah melambangkan kematangan institusi dalam melangkah ke era baharu sebagai universiti penuh. Penaiktarafan tersebut dijangka memperkukuh peranan UniMAIWP dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Acara turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid popular, Inteam, yang menambah kemeriahan majlis.

Pada masa sama, beberapa anugerah akademik utama turut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan graduan. Antara penerima ialah Muhammad Amirul Azreen Mohammad (Anugerah Canselor), Muhammad Amirul Aqmal Mohd Faizal (Anugerah Siasah Ibadurrahman) dan Nur ‘Ainil Fatihah Ahmad Faris (Anugerah Naib Canselor).

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan UniMAIWP dalam memperkasa kecemerlangan akademik, memperkukuh tadbir urus institusi serta meneruskan legasi pendidikan tinggi Islam yang inklusif dan berimpak.

Seiring dengan pemasyhuran ini, UniMAIWP bertekad untuk terus memperluas akses pendidikan berkualiti, memperkukuh penyelidikan dan inovasi, serta melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah dan negara.

Kredit foto: Facebook UniMAIWP

WhatsApp
Scroll to Top