PERDANA MENTERI TEKANKAN PERANAN PEGUAM MASA DEPAN DALAM ERA AI DAN CABARAN GLOBAL

KUALA LUMPUR, 2 April (IKIM) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa profesion guaman perlu berubah secara menyeluruh menjelang tahun 2030, selari dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan cabaran global yang semakin kompleks.

Berucap merasmikan Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, beliau berkata peguam masa depan tidak lagi boleh bergantung kepada penguasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu menguasai nilai, kemahiran dan pengetahuan yang lebih luas.

Menurut beliau, dalam dunia yang semakin dipacu AI, peranan peguam sebagai panduan nilai yang betul serta pengimbang moral menjadi semakin penting bagi memastikan keadilan terus terpelihara.

“Peguam bukan sekadar pakar teknikal, tetapi perlu mempunyai empati dan keupayaan memahami dimensi kemanusiaan di sebalik setiap pertikaian,” katanya.

Mengulas tema persidangan “Lawyering 2030 – Skills, Strategy & Legal Education for a Changing Commonwealth”, beliau berkata sistem perundangan masa depan perlu memberi penekanan kepada penyelesaian pertikaian secara holistik termasuk melalui mediasi, rundingan dan konsiliasi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan kemahiran merentas sempadan dalam kalangan pengamal undang-undang, khususnya dalam menangani isu baharu seperti aset digital dan perubahan iklim.

“Peguam masa depan mesti mampu memahami pelbagai bidang termasuk teknologi kewangan dan sains iklim, di samping menguasai undang-undang pelbagai negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa akses kepada maklumat undang-undang akan menjadi semakin terbuka melalui AI, justeru pelajar dan pengamal undang-undang perlu berperanan sebagai penapis etika dalam menilai maklumat yang luas.

Beliau turut menggesa agar bahasa undang-undang yang terlalu teknikal dan sukar difahami orang awam dikurangkan, bagi memastikan sistem perundangan lebih inklusif dan mudah diakses.

Menyentuh konteks global, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) tidak boleh diamalkan secara selektif dalam hubungan antarabangsa.

“Kredibiliti prinsip ini bergantung kepada konsistensi. Ia tidak boleh digunakan untuk melindungi satu pihak tetapi menafikan hak pihak lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia melalui gagasan Malaysia MADANI sedang memperkukuh agenda reformasi undang-undang dengan memberi penekanan kepada akses keadilan, khususnya kepada golongan miskin dan terpinggir.

“Matlamat utama adalah memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada keadilan dan tiada yang terpinggir daripada mendapatkan pembelaan,” ujar beliau.

Persidangan tersebut menghimpunkan pakar perundangan dari negara-negara Komanwel bagi membincangkan masa depan pendidikan undang-undang dan peranan profesion guaman dalam dunia yang semakin mencabar.

WhatsApp
Scroll to Top