AGENSI JPM (HAL EHWAL AGAMA SALUR SUMBANGAN KEPADA WARIS MANGSA KEMALANGAN

KUALA LUMPUR, 2 April (IKIM) – Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga mangsa kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, Almarhum Amirul Hafiz Omar, 33, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap waris yang terkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata sumbangan tersebut melibatkan beberapa agensi termasuk Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), TV AlHijrah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Menurut beliau, Lembaga Tabung Haji telah membuka akaun simpanan untuk anak-anak mangsa serta menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,000 melalui Surau Tabung Haji.

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyediakan bantuan persekolahan sebanyak RM200 sebulan kepada tiga orang anak mangsa selama setahun, berjumlah RM7,200, selain sumbangan tunai RM500.

TV AlHijrah pula menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 hasil sumbangan penonton dan dana dalaman, termasuk bantuan keperluan persekolahan. Manakala Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) masing-masing menyumbang RM1,000 kepada keluarga mangsa.

Dr Zulkifli berkata, bantuan tersebut bukan sahaja bersifat segera, malah akan diteruskan secara berfasa bagi memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak mangsa terus terbela.

“Ini menunjukkan semangat kebersamaan dan kasih sayang ummah apabila pelbagai agensi tampil berganding bahu membantu keluarga yang diuji,” katanya selepas menyantuni balu mangsa, Puan Nor Nadia Abdul Majid.

Beliau turut memaklumkan bahawa sokongan berterusan termasuk kaunseling dan bantuan kebajikan akan disediakan melalui agensi berkaitan, termasuk kerjasama di peringkat negeri bagi memastikan keluarga tersebut terus dibantu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol merupakan antara punca utama kemalangan maut dan perlu ditangani secara serius.

Sehubungan itu, kerajaan sedang meneroka pendekatan berasaskan syariah seperti pelaksanaan konsep diyat atau pampasan kepada keluarga mangsa sebagai satu mekanisme keadilan.

“Konsep diyat ini sangat indah dalam Islam kerana ia memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga, serta boleh disesuaikan dalam konteks moden negara kita,” jelas beliau.

Beliau menambah, perbincangan lanjut bersama pakar syariah, mufti dan pakar perundangan telah pun diadakan bagi menilai kesesuaian pelaksanaannya di Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top