KUALA LUMPUR, 30 Mac (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah dipertingkatkan secara konsisten bagi melindungi nyawa pengguna jalan raya.
Dalam kenyataan media hari ini, ABIM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Klang, sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar yang bukan sekadar statistik, tetapi melibatkan nyawa seorang insan dan ketua keluarga.
Menurut ABIM, kejadian seumpama itu yang terus berulang menunjukkan bukan sahaja kegagalan individu, tetapi juga kelemahan sistem penguatkuasaan yang masih belum berkesan sepenuhnya.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menegaskan bahawa Malaysia tidak kekurangan undang-undang yang tegas, namun persoalan utama ialah sejauh mana penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten sehingga mampu membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Jika penguatkuasaan hanya dirasai selepas tragedi berlaku, maka kita sedang mengurus akibat, bukan mencegah bencana,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, ABIM mengemukakan beberapa cadangan termasuk mempertingkat operasi sekatan jalan raya serta ujian alkohol dan dadah secara berkala, khususnya pada waktu berisiko tinggi.

Selain itu, ABIM turut mencadangkan pendekatan sifar toleransi terhadap pesalah berulang, termasuk sekatan lesen jangka panjang atau larangan seumur hidup bergantung kepada tahap risiko.
Pertubuhan itu juga mencadangkan pengukuhan perundangan dengan memperkenalkan kategori kesalahan yang mencerminkan kecuaian melampau sehingga menyebabkan kematian, agar kes berkenaan ditangani setara dengan jenayah berat terhadap nyawa.
Dalam masa sama, ABIM menekankan keperluan integrasi teknologi serta kerjasama antara agensi bagi mengesan pemandu berisiko tinggi sebelum tragedi berlaku.
ABIM menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan kematian tidak boleh lagi dianggap sebagai kesalahan biasa, sebaliknya perlu dilihat sebagai jenayah berat yang menuntut hukuman setimpal.
Tambah kenyataan itu, negara perlu bergerak ke arah ekosistem keselamatan jalan raya yang bukan sahaja tegas di atas kertas, tetapi benar-benar dirasai, dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.




