ABIM KECAM UNDANG-UNDANG HUKUMAN MATI KE ATAS TAHANAN PALESTIN

KUALA LUMPUR, 1 April (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya kelulusan undang-undang oleh Knesset Israel yang memperluas pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang dibicarakan di mahkamah tentera.

Dalam kenyataan media hari ini, ABIM menyifatkan langkah yang diluluskan pada 30 Mac lalu itu sebagai satu tindakan yang mencabuli prinsip keadilan sejagat serta bertentangan dengan asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk hak kepada perbicaraan yang adil.

Menurut ABIM, tindakan berkenaan berpotensi dikategorikan sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, termasuk jenayah perang, khususnya dalam konteks pendudukan berpanjangan yang tertakluk kepada Konvensyen Geneva Keempat yang melindungi penduduk awam di wilayah diduduki.

Tambah kenyataan itu, isu tersebut tidak boleh dipisahkan daripada realiti sistem tahanan sedia ada, apabila lebih 9,000 rakyat Palestin dilaporkan berada dalam tahanan, termasuk ribuan yang ditahan di bawah konsep ‘administrative detention’ tanpa pertuduhan atau perbicaraan penuh.

ABIM turut memaklumkan bahawa laporan kumpulan hak asasi menunjukkan ratusan kanak-kanak Palestin masih ditahan dalam keadaan yang tidak memenuhi piawaian proses perundangan yang telus dan adil.

Menurut pertubuhan itu lagi, pelaksanaan hukuman mati dalam situasi tersebut bukan mencerminkan keadilan, sebaliknya dilihat sebagai peluasan kuasa menghukum dalam sistem yang tidak seimbang dari segi kesaksamaan dan kebebasan kehakiman.

Sehubungan itu, ABIM menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Majlis Hak Asasi Manusia, untuk menyiasat serta mendokumentasikan implikasi undang-undang tersebut sebagai potensi pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Dalam masa sama, ABIM turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyelaras pendirian bersama negara anggota bagi menekan penghentian pelaksanaan dasar itu melalui saluran diplomatik dan perundangan antarabangsa.

ABIM menegaskan, masyarakat antarabangsa perlu bertindak segera bagi memastikan perlindungan terhadap semua tahanan Palestin, khususnya mereka yang ditahan tanpa bicara, selain mengekang budaya kebal daripada pertanggungjawaban.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Presiden ABIM, Salman Mohd Yusop, yang menegaskan bahawa keadilan tidak boleh dibina atas dasar penindasan dan pelaksanaan hukuman mati secara terpilih.

WhatsApp
Scroll to Top