DIYAT DITEROKA SEBAGAI INSTRUMEN KEADILAN MANGSA KEMALANGAN – DR ZULKIFLI HASAN

KUALA LUMPUR, 30 Mac (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneroka pelaksanaan diyat sebagai instrumen keadilan bagi melindungi hak mangsa dan waris dalam kes kemalangan jalan raya, khususnya yang melibatkan kecuaian serius seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu digerakkan susulan insiden tragik di Klang yang meragut nyawa seorang bapa, Amirul Hafiz Omar, 33, akibat perbuatan pemandu yang dipercayai mabuk dan positif dadah.

Beliau mengecam keras tindakan tidak bertanggungjawab itu yang disifatkan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa orang lain.

Menurutnya, perbincangan awal mengenai pelaksanaan diyat telah dimulakan pada 11 Februari lalu di Putrajaya dengan penglibatan mufti-mufti, tokoh agama serta pakar pelbagai bidang, termasuk pemain industri takaful.

“Inisiatif ini bertujuan meneroka potensi diyat sebagai mekanisme berasaskan Syariah dalam memastikan keadilan kepada mangsa dan waris, melalui kajian dari sudut perundangan serta perlindungan takaful,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan dan meragui usaha berkenaan, pendekatan tersebut perlu dilihat sebagai langkah progresif dalam memperkukuh sistem keadilan Islam yang relevan dengan keperluan semasa.

Beliau turut memetik kata-kata tokoh pemikir Islam Indonesia, Mohammad Natsir, bahawa sesuatu yang dianggap mustahil hari ini mungkin menjadi realiti pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar Allah SWT mengampuni serta merahmati roh Allahyarham Amirul Hafiz Omar.

“Innalillahi wainna ilayhi rajiun. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Kredit foto: Facebook Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top