KUALA LUMPUR, 27 Mac (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menzahirkan rasa syukur terhadap keupayaan Malaysia yang terus bertahan dalam mendepani krisis tenaga dunia yang semakin mencabar ketika ini.
Beliau berkata, pengumuman langkah terkini oleh kerajaan dalam menangani isu tersebut wajar diterima dengan penuh keinsafan, selain disambut dengan sikap rasional oleh majoriti rakyat.
Menurutnya, pemerhatian mendapati ramai rakyat Malaysia memahami situasi semasa, malah tidak kurang juga yang terus mendoakan serta memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam mengurus cabaran berkenaan.
“Malah, rakan-rakan dari luar negara turut menyatakan kekaguman terhadap pendekatan Malaysia yang dilihat berkesan dalam menangani krisis tenaga ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia masih menikmati pelbagai nikmat dan kelebihan termasuk penyediaan subsidi tenaga yang membantu meringankan beban rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan, seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Nahl ayat 114 yang menggesa umat Islam agar bersyukur sekiranya benar-benar menyembah-Nya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa seseorang itu tidak dianggap bersyukur kepada Allah jika tidak berterima kasih kepada sesama manusia.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa dalam keadaan sukar dan mencabar ini, rakyat perlu terus bersatu hati, berfikiran rasional serta mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi demi kesejahteraan bersama.




