FELDA, KERAJAAN TERENGGANU METERAI PERJANJIAN PENYELESAIAN STATUS LADANG KOMERSIAL

KUALA LUMPUR, 18 Mac (IKIM) – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu hari ini memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial melibatkan enam daerah di negeri itu.

Daerah terlibat ialah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

Perjanjian tersebut merupakan kesinambungan kepada kerjasama yang telah terjalin sejak 1969 menerusi Perjanjian Rancangan Kemajuan Tanah atau dikenali sebagai Perjanjian Negeri Terengganu yang berasaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

Langkah signifikan itu dijangka memberi manfaat ekonomi kepada komuniti FELDA secara keseluruhan, sekali gus menyokong agenda pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan warga peneroka.

Dalam kenyataan, FELDA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemudah cara utama dalam memuktamadkan perjanjian berkenaan.

Penghargaan turut diberikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyelesaian tersebut.

Kerjasama erat antara peringkat Persekutuan, negeri dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan disifatkan sebagai pemacu utama kepada penyelesaian harmoni ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan tadbir urus demi kepentingan rakyat.

WhatsApp
Scroll to Top