GOMBAK, 17 Mac (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan turun padang menyantuni pengguna lebuh raya menerusi Program ‘Jom Balik Kampung’ yang diadakan di Plaza Tol Gombak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Malaysian Relief Agency, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) serta rakan strategik.

Antara rakan strategik yang terlibat termasuk McDonald’s, Nestlé, Nescafé, Gardenia, Mamee dan The Coffee Bean & Tea Leaf yang menyumbang pelbagai barangan kepada pengguna jalan raya.
Dalam program berkenaan, kira-kira 3,000 pengguna lebuh raya telah disantuni dengan pemberian beg ‘goodies’ mengandungi makanan sedia dimakan hasil sumbangan rakan strategik.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr Muhammad Yamin Ismail yang bersama-sama menyantuni pengguna lebuh raya.
Zulkifli dalam ucapannya turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman kepada orang ramai yang telah memulakan perjalanan pulang berhari raya.

Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan cermat demi keselamatan diri dan keluarga sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
Kredit foto: Facebook YB Senator Dr Zulkifli Hasan




