KUALA LUMPUR, 18 Mac (IKIM) – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) terus mempergiat usaha menyantuni golongan asnaf dan komuniti memerlukan menerusi pelaksanaan Program Turun Padang sepanjang bulan Ramadan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Ikhlas.com, Restoran Mohd Chan dan Mokkyspizza yang bersama-sama menjayakan pelbagai bentuk bantuan seperti agihan makanan, keperluan asas, pakaian raya serta aktiviti kemasyarakatan.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Ziarah Ramadan Makeover Rumah Asnaf bersama Ikhlas.com, Ziarah Ramadan bersama Restoran Mohd Chan yang melibatkan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf serta majlis berbuka puasa bersama anak yatim, selain sumbangan juadah iftar dan Gerobok Rezeki kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas.
Selain itu, Mokkyspizza turut menyumbang makanan dan pakaian raya kepada anak-anak yatim di Pertubuhan Baitul Ehsan Al-Khairi sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan sepanjang Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, program turun padang yang dilaksanakan bersama rakan strategik itu membolehkan bantuan disalurkan secara lebih berfokus dan menyeluruh kepada golongan sasar.
“Melalui program-program ini, kita bukan sahaja membantu dari segi keperluan harian, tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan kepedulian dalam masyarakat sepanjang Ramadan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat material kepada penerima, malah turut memperkukuhkan semangat solidariti sosial dalam kalangan masyarakat.
PPZ-MAIWP akan terus mempergiat pelaksanaan program seumpama ini pada masa akan datang dengan sokongan berterusan daripada rakan strategik, selaras dengan komitmen memastikan bantuan zakat disampaikan secara lebih dekat, berkesan dan menyeluruh kepada golongan yang benar-benar memerlukan.




