IKIMFM ANGKAT TEMA KESEDERHANAAN DALAM SIARAN AIDILFITRI 1447H

KUALA LUMPUR, 17 Mac (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia  (IKIM) menerusi stesen radionya, IKIMfm bakal menampilkan pelbagai pengisian istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H melalui rangkaian Rancangan Khas Aidilfitri yang disiarkan sepanjang 1 hingga 5 Syawal.

Mengangkat tema “Kesederhanaan dan Perpaduan” dengan tagline “Inspirasi Syawal”, siaran Aidilfitri tahun ini selaras dengan seruan agar masyarakat menyambut perayaan secara sederhana, mengambil kira situasi dunia yang masih berdepan konflik kemanusiaan di Asia Barat serta ketidaktentuan ekonomi global.

Pemangku Pengurus Besar Kanan IKIMfm, Mahathir Shaharuddin berkata, pemilihan tema tersebut bertujuan mengajak masyarakat menghayati Aidilfitri dengan penuh kesyukuran serta empati terhadap saudara Islam yang sedang diuji.

“Melalui siaran khas ini, IKIMfm ingin mengajak masyarakat menyambut Syawal dengan penuh kesederhanaan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” katanya.

Antara rancangan utama yang bakal disiarkan termasuk “Raudah Syawal” bersama Fuad Mokhtar, “Gemersik Aidilfitri” bersama kumpulan nasyid The Solusi, serta “Bijak Beraya” yang membincangkan kepentingan mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan ketika musim perayaan.

Salah satu tarikan istimewa tahun ini ialah segmen “Sketsa Raya”, iaitu segmen dramatik yang menampilkan lakonan para penyampai IKIMfm sendiri dengan kisah kehidupan masyarakat ketika menyambut Syawal.

Selain itu, para pendengar juga berpeluang menonton Sketsa Khas Raya Alam Ria Si Kecil menampilkan kisah salah sangka keluarga Amin dan Aishah di pagi raya yang akan disiarkan pada 1 Syawal pukul 10 pagi di platform Youtube dan Facebook IKIMfm.

Pendengar boleh mengikuti siaran khas Aidilfitri ini menerusi IKIMfm di frekuensi seluruh negara serta platform digital rasmi IKIMfm.

WhatsApp
Scroll to Top