PUTRAJAYA, 17 Mac (IKIM) – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang hari ini mengumumkan pelantikan Prof Dato’ Ts Ir Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib sebagai Presiden baharu Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang ketiga, berkuat kuasa mulai hari ini.
Beliau menggantikan Prof Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah Tapsir yang telah menerajui MBOT sejak 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2026.
Pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan serta pengalaman luas Mohamed Ibrahim dalam memacu pembangunan sektor teknologi dan teknikal negara.
MBOT dalam kenyataan memaklumkan bahawa kepimpinan baharu ini diyakini mampu memperkukuh lagi peranan institusi itu sebagai badan profesional yang menyokong pembangunan bakat serta pengiktirafan dalam bidang teknologi dan teknikal.
Mohamed Ibrahim merupakan tokoh akademik dan profesional dalam bidang kejuruteraan kimia yang berpengalaman luas dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian) daripada University of New South Wales sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang Process Integration di University of Manchester Institute of Science and Technology, United Kingdom.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS dari tahun 2018 hingga 2025, selain memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan reputasi global institusi berkenaan.
Kerjaya akademiknya bermula di Universiti Teknologi Malaysia sebelum menyertai Universiti Teknologi PETRONAS pada tahun 1997.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Penyelidikan dan Perundingan, Dekan Fakulti Kejuruteraan serta Timbalan Naib Canselor (Akademik).
Sebelum pelantikan ini, beliau turut berkhidmat sebagai Anggota Lembaga MBOT dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan serta pemerkasaan profesion teknologis dan juruteknik di Malaysia.




