NILAI, 17 Mac (IKIM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pelaksanaan Bantuan Lestari Siswa MADANI.
Inisiatif berimpak tinggi ini bertujuan menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya dalam kalangan peminjam PTPTN, sekali gus meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Majlis penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media maalam tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid serta barisan pengurusan PTPTN.
Dalam majlis itu, seramai 72 pelajar asnaf daripada Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM36,000. Setiap penerima memperoleh bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.
Menurut Norliza, bantuan tersebut diharap dapat membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam meneruskan pengajian mereka.
Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan, PTPTN turut menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat. Antaranya termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal bersama anak-anak yatim dan asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI.
“Sebagai sebuah agensi yang prihatin, PTPTN komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR kepada para pelajar, khususnya dalam aspek pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, PTPTN turut meraikan pengamal media dalam majlis berkenaan sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka dalam menyampaikan maklumat berkaitan PTPTN kepada masyarakat.
Menurut beliau, media memainkan peranan penting dalam membetulkan persepsi serta mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab pembayaran balik pinjaman PTPTN di samping mempromosikan perancangan kewangan melalui Simpan SSPN.
Tambahnya lagi, laporan media yang tepat, seimbang dan beretika membantu masyarakat memahami dasar serta usaha penambahbaikan PTPTN dengan lebih jelas.
Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus menggalakkan amalan penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. Inisiatif ini juga bertujuan memastikan pelajar tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit, termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, geran sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, dividen kompetitif serta jaminan kerajaan dan patuh syariah.




