PUTRAJAYA, 16 Mac (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penegasan Perdana Menteri bahawa pembangunan negara perlu berpandukan nilai kemanusiaan serta panduan al-Quran bagi memastikan kemajuan yang dicapai terus berasaskan akhlak dan nilai insan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek material, sebaliknya turut menitikberatkan pembinaan sahsiah dan nilai dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kemajuan negara perlu berpaksikan nilai kemanusiaan serta panduan al-Quran.
Menurutnya, peluncuran Mushaf Malaysia MADANI turut menjadi inisiatif penting dalam usaha membentuk generasi al-Quran di negara ini.
“Mushaf ini menampilkan pendekatan baharu yang menggabungkan seni khat serta identiti tempatan dengan teknologi digital interaktif, sekali gus menggalakkan umat Islam membaca, mentadabbur, menghayati dan mengamalkan kalam Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pendekatan tersebut diharap dapat memperkukuh hubungan masyarakat dengan al-Quran serta menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, katanya, JPM (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus memperkasa kefahaman al-Quran dalam kalangan masyarakat, di samping membina generasi yang berkemajuan, berintegriti dan seimbang berasaskan nilai-nilai murni.




